Sunday, June 20, 2010

VILA ASTAKONA BIRU

Haiza kembali lagi ke situ.Dia tidak tahu bagaimana dirinya boleh berada banglo usang itu.Banglo biru di atas bukit dengan senibina yang unik. Walau usang tetapi tetap gah . Kakinya melangkah ke arah taman mini di tepi kolam ikan. Dipetiknya bunga mawar yang kembang mewangi,diselitkan pula di telinga. Haiza berlari girang.Tenang sahaja dirinya di situ.Jiwanya bagai tidak mahu kembali kepada jasad di alam nyata.Dari jauh Haiza lihat seorang wanita berbaju kurung putih di tepi jendela,sedang merenung ke arahnya.Namun,pandangan Haiza sedikit terhalang kerana selendang yang dipakai wanita itu menutup mukanya tatkala bayu berpuput dari arah utara.

‘Hei kamu !’, Haiza menjerit.

Wanita itu tidak menjawab.Semakin Haiza galak menjerit memanggilnya,makin berundur wanita itu ke belakang. Lenyap sudah wanita itu daripada pandangan Haiza.

Haiza terjaga dari lena.Entah mengapa mimpi itu sering menjadi tamu dalam tidurnya.Kali ini dia mimpi lagi.Mimpi yang sama.Kadangkala dia bingung.Apa kaitan dirinya dengan banglo itu? Dia tidak pernah ke rumah itu,apatah lagi mendiami banglo itu.Dari kecil Haiza tinggal di rumah kebajikan sebelum diambil menjadi anak angkat kepada sebuah keluarga ternama di Kuala Lumpur.Tapi jiwanya diulit ketenangan tatkala kaki melangkah ke vila biru itu di alam mimpi.

*******

2 minggu telah berlalu.Haiza dan 4 orang rakannya ditugaskan untuk membuat penyelidikan mengenai tumbuhan liar di hutan untuk projek semester akhir mereka di universiti.Mereka berkumpul di taman berdekatan dengan kampus untuk berbincang mengenai projek yang akan mereka jalankan.

‘Aku rasa aku ada tempat yang menarik untuk kita pergi,’ Wani bersuara.

‘Mana? Kalau jauh sangat aku tak nak la.Kesian dekat awek aku,tinggal dia sorang-sorang’, balas Amir sambil ketawa terkekek-kekek.

‘Macam ni.Pakcik aku jadi penjaga untuk sebuah banglo dekat Kuala Lipis.Banglo tu cantik, tapi dah lama tinggal.Tak ada orang duduk.Lagipun banglo tu dekat dengan kawasan hutan,dekat pula dengan air terjun.Memang sesuai sangat la kalau kita nak buat projek kita dekat situ.’ Jelas Wani.

‘Tak ada hantu ke? Eyyy kau ni biar betul ? Rumah tinggal ke? ‘ Ikhwan mula bersuara,wajahnya menunjukkan riak takut.

‘Tak payah risau la.Ok aja. Apa nak takut? Pengecut betul la kau ! Asalkan projek kita siap‘, Nabila yang mulanya tadi senyap terus mencelah.

‘Ok ok .Kalau kau orang nak,cakap cepat. Nanti boleh aku bagitau pakcik aku.Siapkan apa yang patut.Tak payah risau pasal hantu, nanti aku panggil pawang ke bomoh ke tolong halau.Siap dengan moyang hantu tu sekali kene halau.Puas hati? ,’ Masing-masing tergelak dengan seloroh Wani.Haiza juga turut ketawa. Setelah perbincangan dibuat,mereka bersetuju untuk menyewa banglo itu.

5 bersahabat itu tiba di tempat yang dituju,Vila Astakona Biru.Banglo tersergam indah itu mempunyai 8 bilik,berwarna biru dan dikelilingi dengan tembok yang membentuk lapan sudut.Sebab itulah dinamakan Vila Astakona Biru.Astakona sendiri membawa maksud segi lapan atau sudut lapan.Sangat unik .Letaknya betul-betul di atas bukit.Pemandangan sekeliling memang cukup indah,memikat setiap mata yang melihat,saujana mata memandang.Walaupun sudah lama tidak didiami,tetapi vila itu tetap dijaga rapi.Pak Hussin,bapa saudara Wani dipertanggungjawabkan untuk menjadi penjaga rumah itu oleh seorang ahli perniagaan terkenal di Kuala Lumpur.

Haiza melangkah keluar dari kereta dengan satu perasaan yang aneh.Sepasang matanya tertumpu pada banglo biru itu.Ditatapnya lama-lama.Tercetus suasana yang eksentrik,lalu menyerbu segenap inci jiwanya,mengganggu kestabilan akal untuk berfikir.Hatinya diamuk resah tiba-tiba. Bagaikan tidak percaya apa yang dilihat.Banglo ini.Ya.Banglo ini yang selalu bertandang dalam mimpinya.Semuanya sama . Tika itu,Haiza merasakan seakan-akan dirinya itu sudah banyak kali menjejakkan kaki ke vila itu,kendatipun itulah yang pertama kali. Haiza tegak berdiri,matanya terpaku tidak berkelip.

‘Hoi Haiza ! Macam patung berdiri.Tolong la angkat barang.Apa kau tengok?’, Amir yang sedang mengangkat beg-beg pakaian menuju ke arah Haiza.Haiza tersedar dari lamunan.

‘Sorry, aku tengok banglo ni cantik.Terkagum pulak’, balas Haiza.Disembunyikan perasaan aneh yang dirasainya dengan senyuman.Perasaan aneh itu terus menyelubungi diri.

Malam itu,usai makan malam, mereka berkumpul di luar banglo .Duduk mengelilingi unggun api yang dinyalakan.Sungguh nyaman rasanya berada di situ.Bintang-bintang yang bertaburan di lantai angkasa dan bulan yang tersenyum menjadi peneman di kala malam.Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa,menampar pipi mereka yang sedang galak berbicara.Menikmati saat-saat bersama sebelum memulakan projek yang akan mereka mulakan pada keesokan harinya.Amir dan Ikhwan masing-masing memetik gitar dan bernyanyi,Wani dan Nabila pula mendengar sahaja sambil bertepuk tangan.Semuanya bergembira kecuali Haiza. Dia cuba untuk bergembira bersama yang lain,tetapi fikirannya sentiasa memikirkan tentang mimpi yang sering dialami.Hatinya tidak tenang,jiwanya resah.Mahu sahaja dia beritahu pada kawan-kawannya,tetapi jiwanya segera melarang.

‘Wani,rumah ni rumah sapa sebenarnya ah?’, Nabila mula bertanya sambil menguis-nguis tanah dengan jarinya.

‘Erm,entah la.Pakcik aku kata dulu ada sebuah keluarga duduk sini.Tapi dengar cerita kena bunuh.Pembunuhan kejam’, Wani berterus-terang .

Ikhwan sudah mula kecut perut.‘Kat rumah ni ke? Kau ni jangan.Kena kacau kita nanti.Rumah hantu apa banglo ni?’

‘Aku tak tau la pula kat mana kena bunuh.Pakcik aku bukan tau sangat cerita yang betul.Itu pun dengar dari orang je.

‘Wei cerita la lagi.Teruja ni’, Amir mula tersengih-sengih.Timbul riak takut pada wajah Nabila dan Haiza. ‘Tak patut betul la pakcik sorang ni,ish!’, getus Haiza dalam hati.

‘Kes bunuh.Katanya sebab dengki dalam business.Biasa la, orang berniaga,mesti ada rasa dengki ni.Khianat.Dalangnya Tan Sri mana entah.Tapi kes ni polis tutup,sebab nak jaga kepentingan sesetengah pihak.’ , jelas Wani lagi. ‘Macam-macam versi aku dengar.Kena kerat la,kene pukul,lepas tu kene tanam entah kat mana.Lagi satu kan.. pakcik aku kata,malam-malam ada..ada.. ‘,

‘Hoi , ada apa?’, Amir menjerit.Tiba-tiba terasa ada angin bertiup entah dari mana,menerpa mereka dengan kuat.

‘Ada HANTUUU !!!!!’,

‘Arghhhhhhhhh ‘, yang lain serentak menjerit.Wani gelak terkekek-kekek melihat gelagat rakan-rakannya.Amir,nampak sahaja macam lelaki sejati,tapi hampeh,dia la paling kuat menjerit.Kalah Haiza dan Nabila.

Haiza bangun dari tempat duduk,melangkah setapak ke depan.Pandangannya sekali lagi dialih pada banglo biru itu.Matanya tertumpu pada setiap inci bahagian luar banglo.Tidak semena-mena sepasang matanya itu menangkap imej satu figura di tepi jendela di tingkat atas banglo .Ditenungnya lagi,samar-samar kelihatan seorang wanita berbaju putih.Wajahnya terlindung oleh selendang putih yang ditiup angin yang disangkut di leher.Lutut Haiza bergetar,terasa lemah kakinya.Apa yang dilihat sama seperti apa yang dilihat dalam mimpi.Sungguh ! Perasaan takut mula menyelubungi diri,adrenaline mula mengalir pantas dalam sistem darah.Jantung berdegup pantas.Mereka semua di luar banglo,tiada siapa di dalam.Jadi siapa wanita itu? Siapa?

********

Malam kian larut.Cengkerik mula bernyanyi mengisi kesunyian malam.Amir dan Ikhwan telah lama lena diulit mimpi.Mereka tidur di sebuah bilik di tingkat bawah.Haiza,Wani dan Kaira pula tidur di bilik tidur utama .Haiza lihat Kaira dan wani.Lena sahaja tidur mereka.Tapi tidak pada Haiza.Puas sudah mengiring ke kiri,mengiring ke kanan,tapi susah untuk melelapkan mata.Hatinya diamuk resah tiba-tiba.Wujud perasaan yang kurang senang.Ada sesuatu yang mengganggu fikiran .Mahu dikejut dua orang rakannya,kasihan pula.Haiza cuba juga untuk tidur,waima matanya masih terasa segar .

Tiba-tiba sahaja Haiza sudah berada di luar banglo seorang diri.Dia tidak pasti apa,siapa yang membawanya ke situ. Banglo itu dilihat sangat cantik pada waktu itu,terang benderang.Terdengar jeritan si ibu memanggil-manggil anaknya masuk ke dalam banglo.Haiza melangkah ke arah taman mini di tepi kolam ikan. Bunyi air terjun buatan begitu menggamit jiwa.Tidak jauh dari tempat dia berdiri,dia nampak tiga orang kanak-kanak sedang bermain-main di halaman banglo bersama bapa mereka.Abang yang sulung menyakat dua orang adik perempuannya.Adik yang bongsu pula menangis.Haiza melihat sahaja perlakuan mereka.Mereka tidak menghiraukan kehadiran Haiza di situ.Bagaikan dia tidak wujud.Haiza bagaikan sedang menonton sebuah filem secara 3D. Namun ada sesuatu yang disedari oleh Haiza.Rantai emas yang tersangkut pada leher anak yang bongsu itu sama dengan rantai yang dipakainya !

Haiza terjaga dari tidur.Dia bangun,mengusap-mengusap wajahnya dengan tangan.Dilihat sekeliling.Aneh sekali.Diamati betul-betul di mana dia berada pada waktu itu.Dia bukan di bilik bersama Nabila dan Wani.Tapi di ruang tamu seorang diri ! Bermacam-macam perasaan menyerbu jiwanya,mengasak-ngasak hingga terasa sistem nafasnya tersesak.Takut,keliru,bingung semuanya bercampur-baur.Haiza melangkah ke bilik mencari-cari Kaira dan Wani . Tiada ! Arah kakinya menuju pula ke bilik Amir dan Ikhwan. Juga tiada !Haiza bagaikan mahu menangis semahu-mahunya.Apa yang terjadi? Mengapa dia keseorangan di sini? Mana yang lain?

‘Haiza… ‘ kedengaran satu suara sayup-sayup memanggil namanya.

‘Haiza sayang .. kenapa tinggalkan mama?’ suara itu memanggil.Diiringi suara tangisan.Suasana tiba-tiba dirasakan seram yang amat.Haiza kaget.Mencari-cari arah suara itu.Terasa mahu gugur jantungnya.

‘Haiza..kenapa kau tinggalkan aku?!’ suara itu bergema.Serentak dengan itu,muncul satu kelibat di hadapan Haiza.Kemudian terus hilang sekelip mata.

Wajah Haiza pucat tidak berdarah.Terasa ada sesuatu yang merenungnya di belakang.Mahu sahaja dia meminta tolong dari rakan-rakannya,tetapi suaranya tersekat di kerongkong,lagipun rakan-rakannya entah ke mana menghilang.Haiza memberanikan diri menoleh ke belakang,jantung berdegup laju.Tatkala kepala ditoleh,hujung matanya menangkap satu imej menakutkan,terawang-awang tidak menjejak tanah.Mahu sahaja Haiza menjerit,tetapi peti suaranya seakan-akan tidak berfungsi.Lembaga putih itu memandang Haiza dengan senyuman yang menakutkan.Matanya tersembul keluar,seluruh kepalanya dilumuri darah,ulat-ulat putih kelihatan keluar dari rongga hidungnya.Lembaga itu melayang-layang mengelilingi Haiza,mengilai-ngilai sehingga dirasakan bergema ruang banglo itu.Haiza jatuh terjelepuk ke lantai tidak sedarkan diri.

*******

Haiza kembali berada di halaman banglo biru itu.Di meja bulat di bawah pohon mangga yang rendang,duduk seorang wanita berbaju putih.Kepalanya ditutup dengan selendang sutera putih.Haiza perlahan-lahan menghampiri wanita itu.

‘Haiza sayang,’ lembut sahaja suara wanita itu menyambut kedatangan Haiza.

‘Puan kenal saya?’ angguk sahaja wanita itu.

‘Maaf Haiza,mama menakutkan kamu .Segala kejadian aneh yang kamu alami,itu semua petunjuk untuk maku.Dah lama mama tunggu Haiza kembali ke sini.Haizalah satu-satunya ahli keluarga kita yang selamat pada malam tu’

‘Mama? Puan mama saya? Satu-satunya ahli keluarga yang selamat?’ Haiza bingung.

‘Ya sayang.Ahli keluarga kita semuanya dibunuh.Kejam ! Kawan baik papa yang menjadi dalang,kononnya papa mengkhianati perjanjian dalam perniagaan yang mereka bangunkan bersama.Tetapi sebenarnya dia yang mahu mengaut keuntungan ! ‘ suara wanita itu yang pada mulanya lembut kian meninggi. ‘Mayat kami semua ditanam tidak jauh dari sini Haiza,tak siapa tahu.Tolong kami semua Haiza.’ Wanita itu merintih.

‘Tapi mengapa saya seorang sahaja yang selamat?

‘Kamu bersembunyi dalam almari.Tak siapa yang menjumpai kamu.Selepas dua hari,baru kamu berani untuk keluar.Nasib kamu baik,ada yang menjumpai kamu,dalam kelaparan,kemudian dihantar ke rumah kebajikan,bukan? Dia tersenyum.

Seakan mahu menitik air mata Haiza.Inilah mamanya.Akhirnya bertemu jua mereka walaupun di alam mimpi,bukan nyata. ‘Jadi,apa yang mama mahu saya buat?’

‘Masuk ke dalam kawasan hutan di belakang sana.Cari pohon rambutan tidak jauh dari sini.Di situ kami ditanam.Tolong kami Haiza.’ Tamat sahaja ayat terakhir yag diucapkan oleh waniat itu,terus dia hilang sedikit demi sedikit,kemudian lenyap begitu sahaja.

Haiza tersentak.Dia terjaga dari pengsan.Jam ditangan menunjukkan tepat jam 4 pagi.Haiza tidak membuang masa.Terus sahaja dia mengayun langkah ke arah hutan tidak jauh dari vila itu.Cangkul diambil,lalu dia terus berlari meredah kelam malam.Matanya sibuk mencari-cari pohon rambutan di situ.Segala perasaan takut hilang begitu sahaja,yang tinggal sekarang hanyalah keinginan yang membuak-buak untuk mencari semula ahli keluarganya.Haiza segera menggali tanah sejurus sahaja pohon rambutan yang dicari ditemui.Bajunya yang kotor tidak diendahkan.Dia berusaha menggali sehingga jumpa apa yang dicari.Tiba-tiba cangkul yang dia gunakan terkena sesuatu yang keras.Dia amati betul-betul apa yang dilihat.

TULANG MANUSIA !

*********

Seawal pukul 7 pagi,Vila Astakona Biru didatangi beberapa orang polis untuk menjalankan siasatan. Rangka manusia telah dijumpai tidak jauh dari situ. Penduduk sekitar gempar dengan berita yang mereka terima.Cepat sahaja tersebar,bagai ditiup angin ke segenap arah.Haiza dan rakannya yang lain berkumpul di ruang tamu untuk member i keterangan kepada pihak polis.

Setelah segala selesai.Barulah Haiza bercerita dengan lebih lanjut tentang perkara yang terjadi ke atas dirinya sepanjang malam itu kepada rakannya yang lain. Waktu itu juga,barulah dia tahu ke mana menghilangnya mereka di saat Haiza keseorangan. Pada malam itu Kaira bangun dari tidur untuk ke atas dan kemudian menyedari Haiza tiada.Puas mereka cari di serata sudut banglo itu,ntetapi tidak berjumpa.Malang juga nasib mereka kerana diganggu kelibat yang menakutkan,terbang melayang-layang dan mengilai-mengilai.Akibat teramat takut,mereka berempat keluar dari banglo itu dan menuju ke sebuah rumah berdekatan untuk tumpang tidur.

*******

Haiza memandang banglo itu dengan senyuman.Kedatangannya ke situ merungkai misteri mimpi yang sering bertamu dalam tidurnya.Dia langsung tidak menyangka yang dia pernah menghuni banglo itu sejak kecil. Dia jugalah yang membongkar rahsia tempat ahli keluarga nya ditanam.Haiza masuk ke dalam kereta untuk pulang semula ke Kuala Lumpur.Kereta pacuan empat roda itu menyusur keluar dari perkarangan vila itu.

‘Selamat tinggal Vila Astakona Biru’ , bisiknya perlahan.


---------------------------------------------------------------------------------------

noktah terakhir 11.25 malam/20 jun 2010

karya asal : nur hidayah hanafi.

terima kasih.

No comments:

Post a Comment