Tuesday, June 8, 2010

KUN FAYAKUN

Ibu pejabat Pentadbiran Angkasa dan Bencana Bumi Antarabangsa (PABA) yang berpangkalan di kota Madinah lebih sibuk dari hari-hari biasa. Para penganalisis cuaca dan bencana sibuk menganalisis data-data yang baru sahaja mereka peroleh.Serius dengan tugas masing-masing kerana hasil analisis itulah yang akan menentukan nasib planet biru yang manusia tumpangi selama ini.Di penjuru bilik operasi, kelihatan Nizamullah, ketua pengalisis cuaca dan bencana ,mengerutkan dahi , cemas sahaja riak wajahnya. Bagai ada sesuatu yang mengganggu fikiran.Nizamullah segera melangkah ke bilik Pengarah PABA yang terletak di tingkat tiga bangunan itu untuk memaklumkan berita yang baru sahaja diperoleh.

‘Assalamualaikum,Tuan Bariq Zafri’, ucap Nizamullah penuh hormat.

‘Waalaikumussalam.Ya Nizamullah? , balas Tuan Bariq Zafri dengan senyuman.

‘Maaf Tuan, saya ada berita yang mungkin tidak begitu enak untuk didengar.Tapi hal ini berkenaan
dengan nasib planet ini Tuan.Ais di kutub utara dan selatan mencair lebih pantas daripada sebelum ini.Kadar pencairan meningkat secara mendadak.Dan.. dan mengikut analisis yang kami jalankan sebentar tadi,mungkin hampir 80% daratan akan tenggelam dalam masa 30 tahun akan datang,’ bicara Nizamullah, riak cemas turut terpamer pada wajahnya.

‘ALLAH !’ , Tuan Bariq kaget.Tidak mampu berkata apa-apa.Hanya nama Allah terpacul dari mulutnya.Berita itu bagai halilintar yang mencalarkan langit lagaknya.Bagai hentak gugur jantung dari tempatnya.

*********

Raja Ahlan Qaid,pemimpin umat Islam juga pemimpin seluruh ummat manusia,yang kini berada di Istana Malazi di utara Makkah turut terkesan dengan warita itu setelah dikhabarkan oleh Tuan Bariq Zafri. Lafaz istigfar dan zikrullah terus membasahi bibir tatkala warita itu mengundang gundah di jiwa.Terasa kerdil diri di sisi Yang Esa .Betapa Allah itu Maha Kuasa menentukan segala.

Bumi ini sudah tua.Sangat tua. Sudah tidak mampu bertahan .Mungkin.Planet biru ini telah acapkali menjadi saksi kerakusan manusia meragut kesucian alam,merobek keindahan dunia sejak awal era millennium,atau mungkin sebelum itu lagi.Pokok-pokok yang selama ini menjadi tangki oksigen kepada hidupan bernyawa habis tumbang ke bumi.Bukit-bukit indah penyejuk mata habis ditarah,dan menggelungsur jualah tanah-tanah di bukit terus ke bawah.Partikel-partikel asing yang terus dilepaskan ke udarakasa meningkatkan kesan rumah hijau.Sinaran inframerah matahari yang menembusi lapisan atmosfera bumi tidak mampu terpantul sepenuhnya secara normal,lalu memberi kesan kepada peningkatan suhu sang planet ini.Kini,ummat manusia diancam bencana yang bakal terjadi.

Baginda duduk berteleku sejenak.Otak ligat berfikir,mencari-cari solusi yang bisa menyelesaikan masalah yang tiba-tiba muncul tanpa sebarang petanda.Memikirkan nasib umat manusia selepas ini,bagaimana mahu meneruskan nafas ini andai daratan habis tenggelam dilanda sang air ? DI mana tempat untuk mereka berpijak andai daratan tidak lagi kelihatan? Baginda merenung ke luar jendela,melihat ke arah taman yang indah. Memikirkan ujian yang diberikan oleh Allah kepada seluruh ummat manusia.Sangat berat .Hatinya merintih.Bagaimana harus baginda lakukan untuk membantu yang lain?Ais di kutub pantas mencair ,paras air laut pantas meningkat.Tidak lama lagi hampir keseluruhan daratan akan tenggelam.Di mana harus ditempatkan manusia seramai ini? Sesuai dengan namanya.Ahlan Qaid.Ahlan membawa maksud keselamatan.Qaid pula bermaksud pemimpin. Baginda merasakan ini adalah tanggungjawabnya untuk memberi perlindungan,menyelamatkan ummat manusia,di samping memanjatkan doa memohon pertolongan dari Yang Esa.

Maka,dijemput pemimpin-pemimpin kanan datang ke istana untuk membincangkan perkara ini.Turut hadir ialah pemimpin-pemimpin dari seluruh dunia yang tidak mengira agama dan bangsa. Masing-masing menyedari apakah yang akan berlaku pada dunia selepas ini.Mesyuarat diatur.

‘Tuanku,seeloknya kita segerakan mencari cara penyelesaian untuk hal ini.Kita tidak boleh berlengah lagi,’ kata Tuan Khair al Din,Menteri Kewangan.

‘Beta sudah memikirkan tentang perkara ini sekian lama,tetapi menemui jalan buntu.Ada sesiapa yang punya cadangan?’,

Jeneral Naufal Bazli,ketua angkatan tentera Makkah bangun memberi cadangan.

‘Maaf tuanku.Saya fikir ada baiknya jika kita bina kapal-kapal yang besar seperti Nabi Nuh yang membina bahtera untuk menyelamatkan diri dari banjir besar. Keadaan yang bakal kita hadapi nanti seakan-akan sama dengan apa yang menimpa ummat manusia pada zaman Nabi Nuh.Tapi tuanku.. ,’

‘Tapi apa wahai Jeneral?’, pantas sahaja Raja Qaid Ahlan memintas percakapan Jeneral Naufal.

‘Tapi sekiranya cadangan ini diterima, kita memerlukan modal yang banyak.Kita perlu membina kapal-kapal yang banyak, untuk menampung ramai manusia.Mungkin usaha ini agak sukar dilakukan,tetapi ini sahaja yang mampu saya fikirkan.Memandangkan nanti bumi ini hanya air yang menguasai’, Jeneral Naufal menyusun kata.

‘Begini,tentang modal,jangan dirisaukan.Pada hemat saya,eloklah kiranya setiap negara menyumbangkan modal untuk kita laksanakan usaha ini. Jika kita semua bekerjasama,InsyAllah kita mampu untuk membina kapal-kapal tersebut,Allah pasti permudahkan’, cadang Ahmad Lutfan,wakil negara-negara di wilayah selatan .

Sidang mesyuarat diam sejenak.Masing-masing berfikir mengenai cadangan yang diutarakan.Mereka teruskan perbincangan dengan mengambil kira buruk baik cadangan itu.Akhirnya,kata sepakat diambil.Mereka bersetuju.

*******

Kerja-kerja membina kapal masih diteruskan.Kini separuh daripada perancangan asal telah siap dilaksanakan.Tenaga kerja yang ramai didatangkan dari seluruh dunia tanpa mengira agama,bangsa dan kepercayaan.Seluruh ummat manusia telah maklum mengenai perkara ini.Pada mulanya,ramai yang tidak dapat menerima hakikat ini.Manakan tidak,dunia ini seakan-akan bakal menjadi planet air,bukan lagi planet yang paling indah dalam rangkaian planet di setiap pelusuk jumantara,malahan dunia ini juga seolah-olah bakal menghampiri saat-saat terakhirnya.Pabila berita ini heboh diperkatakan di seluruh dunia,ramai yang mula sedar dengan kekhilafan diri terhadap Tuhan.

5 tahun telah berlalu.Pembinaan kapal masih lagi diteruskan.Para pekerja bersungguh-sungguh menyiapkan kapal,para jurutera juga sibuk meneliti setiap inci badan kapal.Tapak pembinaan di sepanjang pesisir pantai Mesir itu juga tidak putus-putus dikunjungi oleh wakil negara- negara lain untuk melihat perkembangan pembinaan tersebut.Tidak ketinggalan,Raja Ahlan Qaid.Raja Ahlan Qaid.Baginda yang kini berada di bilik operasi projek pembinaan kapal itu merenung ke luar jendela,memerhati betapa gigihnya para pekerja mengerah keringat untuk melaksanakan misi ini.

‘Tok,tok,tok’,kedengaran pintu bilik diketuk.

Pintu dibuka,menampakkan kelibat Jeneral Naufal Bazli.Salam diberi.

‘Assalamualaikum,tuanku Raja Ahlan,’

‘Waalaikumussalam,ya Jeneral Naufal,’ balas Raja Ahlan Qaid dengan senyuman terukir di bibir.Wajahnya tenang .Sejurus selepas itu,terus kakinya melangkah ke sebuah kerusi empuk di tepi jendela.

‘Tuanku pasti sudah meninjau pembinaan kapal-kapal tersebut.Adakah tuanku berpuas hati? ,’ soal Jeneral Naufal .

‘Alhamdulilah.Nampaknya semua seperti apa yang dirancang.Beta kagum melihat kegigihan para pekerja yang terlibat.Dan ini mengingatkan beta tentang kesungguhan Nabi Nuh membina bahtera untuk menyelamatkan diri dari banjir besar dahulu,’ Raja Ahlan menutur kata.Pandangannya dilepaskan pada sisi jendela sambil mengusap-ngusap dagu yang licin tak berjanggut.

Petang itu,Jeneral Naufal dan seorang pembantu pergi meninjau tapak pembinaan kapal.Dia yang diamanahkan untuk menyelia projek itu memeriksa beberapa kapal yang telah siap.Setiap inci diperiksa supaya kapal yang dibuat tiada cacat cela.Itu adalah tugasnya.Jeneral Naufal juga sedia maklum bahawa dialah yang akan menjadi ketua kepada kapal-kapal yang akan belayar nanti,mengetuai pelayaran ummat manusia di lautan luas.Projek pembinaan kapal ini mengambil masa yang agak lama.10 tahun mungkin.Kini projek ini baru separuh selesai dilaksanakan.

Jeneral Naufal kembali ke bilik operasi.Dia berdiri di koridor.Pandangan mata dialih pada laut yang terbentang luas,tenang sahaja ombaknya.Dari jauh kelihatan sang suria makin tenggelam di ufuk barat,kaki langit diwarnai dengan warna merah.Indah benar ciptaan Tuhan.Dia melihat udarakasa sambil lidah tidak lekang menyebut lafaz zikrullah,memuji Tuhan.Angin berpuput dan menampar lembut pipinya.Perasaan tenang menyelinap dalam jiwa . Membalut keresahan di hati.

‘Jeneral Naufal !’, jeritan Dhaifullah sedikit menggangu ketenangannya.

‘Ya Dhaifullah.Mengapa kamu ni? Ada sesuatu buruk yang berlaku?’,

‘Maaf Jeneral.Tapi saya ada berita perlu dikhabarkan pada Tuan Jeneral.Ibu pejabat PABA baru sahaja menghantar berita pada kita.Katanya keadaan sudah semakin buruk.Bongkah ais berpecah.Kadar pencairan ais di kutub utara tiba-tiba sahaja meningkat.Perkara ini juga telah dikhabarkan pada Raja Ahlan Qaid.’ jelas Dhaifullah dengan termengah-mengah

‘Benar? Jadi daratan akan tenggelam dalam masa terdekat.Itu maksud kamu?’

‘Ya Jeneral.Nampaknya kita tidak punya banyak masa.Projek ini perlu disiapkan segera.Jikalau siap pun,sudah banyak kawasan darat yang akan tenggelam.Kematian akan berlaku’,
Jeneral Naufal diam sejenak.Jantungnya berdegup pantas tatkala berita itu singgah di telinganya.

‘Arahkan semua pekerja untuk menggandakan usaha menyiapkan kapal.Saya mahu projek ini disiapkan segera’, katanya tegas.

*******

Paras air laut pantas meningkat.Sudah banyak kawasan daratan yang ditenggelami.Ramai jualah yang terkorban.Projek pembinaan kapal diteruskan,disertai dengan doa yang dipanjatkan ke hadrat Ilahi agar projek ini siap dengan segera untuk mengelakkan kehilangan nyawa yang ramai.

Akhirnya,masa yang ditunggu tiba.Seluruh ummat manusia dibawa naik ke kapal-kapal yang dibina.Ibarat mengimbau peristiwa Nabi Nuh membawa umatnya menaiki bahtera.Begitulah keadaan mereka.Saat itu,hampir keseluruhan daratan tenggelam.Mereka tidak punya banyak masa,sedikit terlengah,hanyut jualah mereka dibawa arus.

Namun Allah itu Maha Kuasa.Walaupun hampir keseluruhan daratan tenggelam,Tanah Haram Makkah dan Madinah terpelihara daripada bencana yang mendatang.Memang tidak mudah diterima akal,tetapi itu yang berlaku.

Pelayaran bermula,dengan Jeneral Naufal menjadi ketua.Bermulah perjalanan kapal-kapal tersebut entah ke mana hala tuju.Berada di tengah-tengah lautan yang luas.Hanya lautan.Ya.Hanya lautan.Jeneral Naufal menyeru seluruh manusia yang menaiki kapaL-kapal tersebut agar tidak putus harapan,berdoalah pada yang ESA.Mereka terus berdoa agar keajaiban berlaku walaupun perkara itu agak mustahil untuk berlaku.Tapi apakan daya.Itu sahaja yang mampu dilakukan.

Usai solat Subuh di atas kapal secara berjemaah, Jeneral Naufal mengatur langkah ke dek kapal.Merenung laut yang luas terbentang. ‘Ini sudah ketentuan Tuhan.Ini ujian dariNYA.’ Bisiknya dalam hati.Namun jauh di lubuk hatinya mengharapkan bantuan dari Allah.Tiba-tiba dirasakan kapal yang dinaikinya teroleng-oleng.Bagaikan ada berlaku sesuatu dari dalam laut.

Laut yang tadinya tenang, tiba-tiba berombak ganas.Semua yang berada di kapal masing-masing cemas. ‘Ujian apakah lagi yang KAU mahu berikan pada kami?Berilah kami kekuatan,’ doa Jeneral Naufal dalam hati.Ombak makin ganas,memaksa krew-krew kapal untuk bertindak segera supaya kapal tidak terbalik diserang ombak.Bagai bertarung dengan antaboga gergasi yang keluar dari perut bumi lagaknya.

Disebalik ombak yang mengganas,ada sesuatu yang menunggu mereka. Ya. Mereka diperlihatkan dengan kekuasaan Allah yang tiada tandingnya.Mata mereka seakan-akan tidak mempercayai apa yang dilihat.Masing-masing terpaku,takjub dengan apa yang berlaku.Subhanallah.Jauh di hadapan mereka,muncul kawasan daratan yang sangat luas dari permukaaan laut.Perlahan-lahan keluar dari laut yang bergelombang.Sangat luas hingga tidak terjangkau dek penglihatan mereka.Memang tidak dapat diterima akal apa yang dilhat,tetapi sekiranya itu yang dikehendaki olehNYA ,itulah yang akan berlaku.KUN FAYAA KUN.

Jeneral Naufal tersenyum.Sinar harapan terpancar.Mungkin inilah permulaan kepada sesuatu yang baru. ALLAHUAKBAR !

.......................................................................................................

bukan tiru dan tampal ,karya sendiri
Terima kasih

No comments:

Post a Comment