Tuesday, December 7, 2010

Dosa itu.


6 Ogos 2010

Di celah semak itu,sayup-sayup terdengar tangisan.Halus bunyinya.Di celah semak itu,terbungkus satu jasad.Jasad bernyawa,kecil.Kain batik kusam yang membungkus jasad lemah itu masih jelas kesan tompokan darah,masih baru,masih lembab.Jasad itu masih berlumur darah,bergerak-gerak bagai mahu lari dari tempat kotor itu,penuh nyamuk,dengan semut menghurung,tapi apakan daya, jasad itu tidak mampu berbuat apa-apa.Jasad itu merengek-rengek,lapar agaknya tapi tiada apa-apa yang disuap masuk ke dalam mulutnya yang comel itu sejak saat dia membuka mata melihat dunia keluar dari rahim yang didiaminya 8 bulan dahulu.

Dia keseorangan di situ.Dia sakit,mahu meminta tolong,tapi siapa yang dengar tangis esaknya? Rengekkannya yang halus itu? Tiada siapa mendengar.Hanya semut,cacing,burung dan segala jenis binatang yang ada di sekeliling itulah yang mendengar rintihan hati kecilnya.Dia menggigil tatkala angin yang bertiup mencium kulitnya yang mulus.

Seekor semut memanjat kakinya.Dua ekor.Lima ekor.Sepuluh ekor.Seratus ekor.Lama kelamaan tidak terkira banyaknya.Bayi itu dihurung semut,setiap rongga di tubuh kecil itu menjadi sarang semut-semut hitam.Makin galak tangisan bayi itu,tapi sia-sia kerna tak siapa mendengar.Makin lama makin surut bunyi esak tangis itu.Entah bila, terus hilang tangisan itu,langsung tidak didengar.Senyap,sunyi sepi.

Bukan salah semut bayi itu mati.Bukan salah semut. Bukan !

Ibunya pembunuh !

Semut-semut hitam makin banyak menghurung.Cacing juga bebas bergerak di atas tubuh kecil bayi malang itu.

‘Manusia.Bodoh ! Ini rahmat Tuhan,tapi dibuang.Manusia,tapi hatinya bukan manusia.Tak layak digelar manusia!’, Semut I besuara.

‘Manusia,dah lupa agaknya.Lupa ajaran Tuhan.Agama tidak dihirau,nafsu menjadi raja.Manusia.. ‘, sambung semut II.

‘Sedangkan binatang sayangkan anak.Manusia? Lebih teruk dari binatang’, semut I membalas.

‘Allah Maha Pengampun,Allah Maha Penyayang.Moga ibu bayi ini mendapat hidayah’, semut II mencelah.

2 Februari 2010 – 6 Ogos 2010

‘Positif’.

Hati Ila bergetar.Penunjuk pada alat penguji kehamilan itu jelas menunjukkan tanda positif.Dia kaget.Menggigil tangannya,terlepas alat itu dari tangannya jatuh ke lantai.Dunia seakan-akan gelap.Tidak dia sangkakan perkara yang paling ditakutinya itu akan terjadi.Dia bukan seperti bakal ibu yang lain,yang gembira tatkala mendapat berita bakal mendapat orang baru dalam keluarga.Tapi dia takut,mahu saja dia buang kandungan itu pada waktu itu juga.Terasa ingin diputar jam yang bergerak supaya dia boleh kembali pada waktu dia berdua-duaan bersama Razif,supaya dia boleh hentikan perbuatan yang dilakukan olehnya dan Razif pada malam itu yang nyata dilaknat Allah.

‘Razif,I’m pregnant’ , perlahan suara Ila.

‘What? Pregnant? You crazy ! Are you sure? Macam mana boleh jadi ni?’, balas Razif kasar.

‘I don’t know dear.It’s almost a month.What should I do?’

‘You asked me, huh?You uruskan sendiri.Eh,I bagi you pill suruh makan dulu, takkan you tak makan? Dah jadi macam ni,pandai you cari I? Lagi satu, you pasti itu anak I? Benih I?’ , Razif makin galak bertanya,seakan tidak dapat menerima hakikat itu.

‘Yes,I pasti.Siapa lagi kalau bukan you? Razif,kita kahwin? ‘

‘No! I muda lagi,nak enjoy.Kahwin? Belum masanya.Nak kahwin dengan you? Macam lah pasti sangat itu anak I? Hey perempuan, kau tu bukan baik sangat,entah-entah anak lelaki lain,kau nak suruh aku mengaku? Aku tak bodoh ! ‘,

Razif bangun, begnya disandang.Motornya dihidupkan.Ila cuba merayu,memujuk-mujuk lelaki itu,tapi sia-sia.Bukan sahaja dia ditolak,ditendang lelaki itu di khalayak ramai,tapi dia dihina sebelum lelaki itu meninggalkan dia keseorangan di situ.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Makin hari makin membesar kandungan Ila.Makin jelas memboyot perutnya.Ila membenci kandungannya itu,sebagaimana dia bencikan Razif.Mahu saja dia gugurkan pada awal kandungan,tapi hatinya berbelah bagi,masih ada rasa ihsan pada janin yang sedang membesar.

Sepanjang kehamilan,wanita itu dicerca,dihina,dipulau.Itu semua akibat perbuatan terkutuknya dahulu.Menyesal? Ya memang dia menyesal,tapi perkara dah jadi.Dah jadi titik hitam dalam sejarah hidup Ila.Menyesal tak berguna.Paling teruk, wanita itu dibuang keluarga.Ayahnya,seorang imam di kampung terus menghalau Ila keluar dari rumahnya di kampung .Wanita itu terkontang-kanting di dunia ini,tiada siapa membantu.

Semakin hari makin besar perutnya,sudah sampai masanya untuk bayi itu keluar dari rahim ibunya untuk melihat dunia indah ciptaan Tuhan.Sepanjang tempoh itu, makin benci Ila melihat perutnya yang membesar.

‘Aku benci anak ni! Aku benci! Aku tak terima,aku malu !Sebab dia aku dicerca,sebab dia aku dihina,aku dibuang keluarga,sebab dia Razif tinggalkan aku!’, Ila menjerit dalam hati,habis semua kesalahan disandarkan pada kandungannya itu.

Ila tekad.Selepas sahaja dia melahirkan anak itu,akan dia buang bayi itu jauh-jauh.Dia tak mahu bayi itu merosakkan hidupnya lagi.Takkan ! Dia tak akan benarkan semua itu terjadi!

……………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Suara tangisan bayi memecah keheningan alam.Subuh itu,Ila menghadapi saat-saat getir dalam hidupnya.Dia bersalin seorang diri,tanpa ada sesiapa di sisi.Di tempat yang kotor,tandas rumahnya sendiri.Bagai separuh mati Ila bertarung semata-mata untuk melahirkan zuriat yang terhasil dari hubungan yang tidak diredhai Yang Maha Esa.

‘Kau anak haram!’ , terkeluar kata-kata itu dari mulut Ila.Tiada langsung rasa belas kasihan pada bayi yang baru sahaja melihat dunia itu.Bahkan diludahnya lagi bayi malang itu.

Ila ambil kain batik kusam di atas katil dan terus membalut bayi itu.Tali pusatnya masih berjuntaian.Darah merah pekat masih melekat pada kulit mulus bayi itu.Dengan lemah,Ila melangkah keluar dari rumah sewanya menuju ke kawasan semak belukar 200 meter dari situ.Dia nekad.Dia tak mahu anak itu merosakkan lagi hidupnya.Dia benci anak itu.Api kebencian makin marak akibat ditiup syaitan durjana,yangs sentiasa membisikkan kata-kata kebencian.Ila lupa Tuhan.Ila lupa Allah.Ila lupa agama!

Ila tinggalkan bayi itu di atas tanah.Langsung tidak dipandangnya lagi bayi itu.Menangis meraunglah bayi itu,langsung tidak diendahkan Ila.Dia pergi meninggalkan bayi itu keseorangan,tanpa setitik susu pun diberikan sejak bayi itu dilahirkan.Ila teruskan langkah,dengan lemah dia berjalan untuk pulang ke rumah sewanya sebelum cahaya mentari menjengah alam.Dia tidak mahu sesiapa pun tahu perbuatan terkutuknya itu.

Akibat terlalu lemah dan kehilangan darah yang banyak ketika bersalin,Ila rebah ke bumi.Penat dia menjerit meminta tolong,tapi suaranya lemah,sangat perlahan,tiada siapa yang mendegar.Makin lama makin tidak berdaya wanita itu.Mata Ila seakan-akan gelap.Makin lama makin gelap.Sunyi,sepi.Mata bundarnya tertutup rapat. Terus rapat tidak akan terbuka.Selama-lamanya.


..........................................

Tamat ditulis pada 8 Disember 2010

12.20 am

Karya sendiri ,bukan copy paste.

Harap menjadi pengajaran,untuk saya,juga sekalian manusia.

terima kasih~


Sunday, June 20, 2010

VILA ASTAKONA BIRU

Haiza kembali lagi ke situ.Dia tidak tahu bagaimana dirinya boleh berada banglo usang itu.Banglo biru di atas bukit dengan senibina yang unik. Walau usang tetapi tetap gah . Kakinya melangkah ke arah taman mini di tepi kolam ikan. Dipetiknya bunga mawar yang kembang mewangi,diselitkan pula di telinga. Haiza berlari girang.Tenang sahaja dirinya di situ.Jiwanya bagai tidak mahu kembali kepada jasad di alam nyata.Dari jauh Haiza lihat seorang wanita berbaju kurung putih di tepi jendela,sedang merenung ke arahnya.Namun,pandangan Haiza sedikit terhalang kerana selendang yang dipakai wanita itu menutup mukanya tatkala bayu berpuput dari arah utara.

‘Hei kamu !’, Haiza menjerit.

Wanita itu tidak menjawab.Semakin Haiza galak menjerit memanggilnya,makin berundur wanita itu ke belakang. Lenyap sudah wanita itu daripada pandangan Haiza.

Haiza terjaga dari lena.Entah mengapa mimpi itu sering menjadi tamu dalam tidurnya.Kali ini dia mimpi lagi.Mimpi yang sama.Kadangkala dia bingung.Apa kaitan dirinya dengan banglo itu? Dia tidak pernah ke rumah itu,apatah lagi mendiami banglo itu.Dari kecil Haiza tinggal di rumah kebajikan sebelum diambil menjadi anak angkat kepada sebuah keluarga ternama di Kuala Lumpur.Tapi jiwanya diulit ketenangan tatkala kaki melangkah ke vila biru itu di alam mimpi.

*******

2 minggu telah berlalu.Haiza dan 4 orang rakannya ditugaskan untuk membuat penyelidikan mengenai tumbuhan liar di hutan untuk projek semester akhir mereka di universiti.Mereka berkumpul di taman berdekatan dengan kampus untuk berbincang mengenai projek yang akan mereka jalankan.

‘Aku rasa aku ada tempat yang menarik untuk kita pergi,’ Wani bersuara.

‘Mana? Kalau jauh sangat aku tak nak la.Kesian dekat awek aku,tinggal dia sorang-sorang’, balas Amir sambil ketawa terkekek-kekek.

‘Macam ni.Pakcik aku jadi penjaga untuk sebuah banglo dekat Kuala Lipis.Banglo tu cantik, tapi dah lama tinggal.Tak ada orang duduk.Lagipun banglo tu dekat dengan kawasan hutan,dekat pula dengan air terjun.Memang sesuai sangat la kalau kita nak buat projek kita dekat situ.’ Jelas Wani.

‘Tak ada hantu ke? Eyyy kau ni biar betul ? Rumah tinggal ke? ‘ Ikhwan mula bersuara,wajahnya menunjukkan riak takut.

‘Tak payah risau la.Ok aja. Apa nak takut? Pengecut betul la kau ! Asalkan projek kita siap‘, Nabila yang mulanya tadi senyap terus mencelah.

‘Ok ok .Kalau kau orang nak,cakap cepat. Nanti boleh aku bagitau pakcik aku.Siapkan apa yang patut.Tak payah risau pasal hantu, nanti aku panggil pawang ke bomoh ke tolong halau.Siap dengan moyang hantu tu sekali kene halau.Puas hati? ,’ Masing-masing tergelak dengan seloroh Wani.Haiza juga turut ketawa. Setelah perbincangan dibuat,mereka bersetuju untuk menyewa banglo itu.

5 bersahabat itu tiba di tempat yang dituju,Vila Astakona Biru.Banglo tersergam indah itu mempunyai 8 bilik,berwarna biru dan dikelilingi dengan tembok yang membentuk lapan sudut.Sebab itulah dinamakan Vila Astakona Biru.Astakona sendiri membawa maksud segi lapan atau sudut lapan.Sangat unik .Letaknya betul-betul di atas bukit.Pemandangan sekeliling memang cukup indah,memikat setiap mata yang melihat,saujana mata memandang.Walaupun sudah lama tidak didiami,tetapi vila itu tetap dijaga rapi.Pak Hussin,bapa saudara Wani dipertanggungjawabkan untuk menjadi penjaga rumah itu oleh seorang ahli perniagaan terkenal di Kuala Lumpur.

Haiza melangkah keluar dari kereta dengan satu perasaan yang aneh.Sepasang matanya tertumpu pada banglo biru itu.Ditatapnya lama-lama.Tercetus suasana yang eksentrik,lalu menyerbu segenap inci jiwanya,mengganggu kestabilan akal untuk berfikir.Hatinya diamuk resah tiba-tiba. Bagaikan tidak percaya apa yang dilihat.Banglo ini.Ya.Banglo ini yang selalu bertandang dalam mimpinya.Semuanya sama . Tika itu,Haiza merasakan seakan-akan dirinya itu sudah banyak kali menjejakkan kaki ke vila itu,kendatipun itulah yang pertama kali. Haiza tegak berdiri,matanya terpaku tidak berkelip.

‘Hoi Haiza ! Macam patung berdiri.Tolong la angkat barang.Apa kau tengok?’, Amir yang sedang mengangkat beg-beg pakaian menuju ke arah Haiza.Haiza tersedar dari lamunan.

‘Sorry, aku tengok banglo ni cantik.Terkagum pulak’, balas Haiza.Disembunyikan perasaan aneh yang dirasainya dengan senyuman.Perasaan aneh itu terus menyelubungi diri.

Malam itu,usai makan malam, mereka berkumpul di luar banglo .Duduk mengelilingi unggun api yang dinyalakan.Sungguh nyaman rasanya berada di situ.Bintang-bintang yang bertaburan di lantai angkasa dan bulan yang tersenyum menjadi peneman di kala malam.Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa,menampar pipi mereka yang sedang galak berbicara.Menikmati saat-saat bersama sebelum memulakan projek yang akan mereka mulakan pada keesokan harinya.Amir dan Ikhwan masing-masing memetik gitar dan bernyanyi,Wani dan Nabila pula mendengar sahaja sambil bertepuk tangan.Semuanya bergembira kecuali Haiza. Dia cuba untuk bergembira bersama yang lain,tetapi fikirannya sentiasa memikirkan tentang mimpi yang sering dialami.Hatinya tidak tenang,jiwanya resah.Mahu sahaja dia beritahu pada kawan-kawannya,tetapi jiwanya segera melarang.

‘Wani,rumah ni rumah sapa sebenarnya ah?’, Nabila mula bertanya sambil menguis-nguis tanah dengan jarinya.

‘Erm,entah la.Pakcik aku kata dulu ada sebuah keluarga duduk sini.Tapi dengar cerita kena bunuh.Pembunuhan kejam’, Wani berterus-terang .

Ikhwan sudah mula kecut perut.‘Kat rumah ni ke? Kau ni jangan.Kena kacau kita nanti.Rumah hantu apa banglo ni?’

‘Aku tak tau la pula kat mana kena bunuh.Pakcik aku bukan tau sangat cerita yang betul.Itu pun dengar dari orang je.

‘Wei cerita la lagi.Teruja ni’, Amir mula tersengih-sengih.Timbul riak takut pada wajah Nabila dan Haiza. ‘Tak patut betul la pakcik sorang ni,ish!’, getus Haiza dalam hati.

‘Kes bunuh.Katanya sebab dengki dalam business.Biasa la, orang berniaga,mesti ada rasa dengki ni.Khianat.Dalangnya Tan Sri mana entah.Tapi kes ni polis tutup,sebab nak jaga kepentingan sesetengah pihak.’ , jelas Wani lagi. ‘Macam-macam versi aku dengar.Kena kerat la,kene pukul,lepas tu kene tanam entah kat mana.Lagi satu kan.. pakcik aku kata,malam-malam ada..ada.. ‘,

‘Hoi , ada apa?’, Amir menjerit.Tiba-tiba terasa ada angin bertiup entah dari mana,menerpa mereka dengan kuat.

‘Ada HANTUUU !!!!!’,

‘Arghhhhhhhhh ‘, yang lain serentak menjerit.Wani gelak terkekek-kekek melihat gelagat rakan-rakannya.Amir,nampak sahaja macam lelaki sejati,tapi hampeh,dia la paling kuat menjerit.Kalah Haiza dan Nabila.

Haiza bangun dari tempat duduk,melangkah setapak ke depan.Pandangannya sekali lagi dialih pada banglo biru itu.Matanya tertumpu pada setiap inci bahagian luar banglo.Tidak semena-mena sepasang matanya itu menangkap imej satu figura di tepi jendela di tingkat atas banglo .Ditenungnya lagi,samar-samar kelihatan seorang wanita berbaju putih.Wajahnya terlindung oleh selendang putih yang ditiup angin yang disangkut di leher.Lutut Haiza bergetar,terasa lemah kakinya.Apa yang dilihat sama seperti apa yang dilihat dalam mimpi.Sungguh ! Perasaan takut mula menyelubungi diri,adrenaline mula mengalir pantas dalam sistem darah.Jantung berdegup pantas.Mereka semua di luar banglo,tiada siapa di dalam.Jadi siapa wanita itu? Siapa?

********

Malam kian larut.Cengkerik mula bernyanyi mengisi kesunyian malam.Amir dan Ikhwan telah lama lena diulit mimpi.Mereka tidur di sebuah bilik di tingkat bawah.Haiza,Wani dan Kaira pula tidur di bilik tidur utama .Haiza lihat Kaira dan wani.Lena sahaja tidur mereka.Tapi tidak pada Haiza.Puas sudah mengiring ke kiri,mengiring ke kanan,tapi susah untuk melelapkan mata.Hatinya diamuk resah tiba-tiba.Wujud perasaan yang kurang senang.Ada sesuatu yang mengganggu fikiran .Mahu dikejut dua orang rakannya,kasihan pula.Haiza cuba juga untuk tidur,waima matanya masih terasa segar .

Tiba-tiba sahaja Haiza sudah berada di luar banglo seorang diri.Dia tidak pasti apa,siapa yang membawanya ke situ. Banglo itu dilihat sangat cantik pada waktu itu,terang benderang.Terdengar jeritan si ibu memanggil-manggil anaknya masuk ke dalam banglo.Haiza melangkah ke arah taman mini di tepi kolam ikan. Bunyi air terjun buatan begitu menggamit jiwa.Tidak jauh dari tempat dia berdiri,dia nampak tiga orang kanak-kanak sedang bermain-main di halaman banglo bersama bapa mereka.Abang yang sulung menyakat dua orang adik perempuannya.Adik yang bongsu pula menangis.Haiza melihat sahaja perlakuan mereka.Mereka tidak menghiraukan kehadiran Haiza di situ.Bagaikan dia tidak wujud.Haiza bagaikan sedang menonton sebuah filem secara 3D. Namun ada sesuatu yang disedari oleh Haiza.Rantai emas yang tersangkut pada leher anak yang bongsu itu sama dengan rantai yang dipakainya !

Haiza terjaga dari tidur.Dia bangun,mengusap-mengusap wajahnya dengan tangan.Dilihat sekeliling.Aneh sekali.Diamati betul-betul di mana dia berada pada waktu itu.Dia bukan di bilik bersama Nabila dan Wani.Tapi di ruang tamu seorang diri ! Bermacam-macam perasaan menyerbu jiwanya,mengasak-ngasak hingga terasa sistem nafasnya tersesak.Takut,keliru,bingung semuanya bercampur-baur.Haiza melangkah ke bilik mencari-cari Kaira dan Wani . Tiada ! Arah kakinya menuju pula ke bilik Amir dan Ikhwan. Juga tiada !Haiza bagaikan mahu menangis semahu-mahunya.Apa yang terjadi? Mengapa dia keseorangan di sini? Mana yang lain?

‘Haiza… ‘ kedengaran satu suara sayup-sayup memanggil namanya.

‘Haiza sayang .. kenapa tinggalkan mama?’ suara itu memanggil.Diiringi suara tangisan.Suasana tiba-tiba dirasakan seram yang amat.Haiza kaget.Mencari-cari arah suara itu.Terasa mahu gugur jantungnya.

‘Haiza..kenapa kau tinggalkan aku?!’ suara itu bergema.Serentak dengan itu,muncul satu kelibat di hadapan Haiza.Kemudian terus hilang sekelip mata.

Wajah Haiza pucat tidak berdarah.Terasa ada sesuatu yang merenungnya di belakang.Mahu sahaja dia meminta tolong dari rakan-rakannya,tetapi suaranya tersekat di kerongkong,lagipun rakan-rakannya entah ke mana menghilang.Haiza memberanikan diri menoleh ke belakang,jantung berdegup laju.Tatkala kepala ditoleh,hujung matanya menangkap satu imej menakutkan,terawang-awang tidak menjejak tanah.Mahu sahaja Haiza menjerit,tetapi peti suaranya seakan-akan tidak berfungsi.Lembaga putih itu memandang Haiza dengan senyuman yang menakutkan.Matanya tersembul keluar,seluruh kepalanya dilumuri darah,ulat-ulat putih kelihatan keluar dari rongga hidungnya.Lembaga itu melayang-layang mengelilingi Haiza,mengilai-ngilai sehingga dirasakan bergema ruang banglo itu.Haiza jatuh terjelepuk ke lantai tidak sedarkan diri.

*******

Haiza kembali berada di halaman banglo biru itu.Di meja bulat di bawah pohon mangga yang rendang,duduk seorang wanita berbaju putih.Kepalanya ditutup dengan selendang sutera putih.Haiza perlahan-lahan menghampiri wanita itu.

‘Haiza sayang,’ lembut sahaja suara wanita itu menyambut kedatangan Haiza.

‘Puan kenal saya?’ angguk sahaja wanita itu.

‘Maaf Haiza,mama menakutkan kamu .Segala kejadian aneh yang kamu alami,itu semua petunjuk untuk maku.Dah lama mama tunggu Haiza kembali ke sini.Haizalah satu-satunya ahli keluarga kita yang selamat pada malam tu’

‘Mama? Puan mama saya? Satu-satunya ahli keluarga yang selamat?’ Haiza bingung.

‘Ya sayang.Ahli keluarga kita semuanya dibunuh.Kejam ! Kawan baik papa yang menjadi dalang,kononnya papa mengkhianati perjanjian dalam perniagaan yang mereka bangunkan bersama.Tetapi sebenarnya dia yang mahu mengaut keuntungan ! ‘ suara wanita itu yang pada mulanya lembut kian meninggi. ‘Mayat kami semua ditanam tidak jauh dari sini Haiza,tak siapa tahu.Tolong kami semua Haiza.’ Wanita itu merintih.

‘Tapi mengapa saya seorang sahaja yang selamat?

‘Kamu bersembunyi dalam almari.Tak siapa yang menjumpai kamu.Selepas dua hari,baru kamu berani untuk keluar.Nasib kamu baik,ada yang menjumpai kamu,dalam kelaparan,kemudian dihantar ke rumah kebajikan,bukan? Dia tersenyum.

Seakan mahu menitik air mata Haiza.Inilah mamanya.Akhirnya bertemu jua mereka walaupun di alam mimpi,bukan nyata. ‘Jadi,apa yang mama mahu saya buat?’

‘Masuk ke dalam kawasan hutan di belakang sana.Cari pohon rambutan tidak jauh dari sini.Di situ kami ditanam.Tolong kami Haiza.’ Tamat sahaja ayat terakhir yag diucapkan oleh waniat itu,terus dia hilang sedikit demi sedikit,kemudian lenyap begitu sahaja.

Haiza tersentak.Dia terjaga dari pengsan.Jam ditangan menunjukkan tepat jam 4 pagi.Haiza tidak membuang masa.Terus sahaja dia mengayun langkah ke arah hutan tidak jauh dari vila itu.Cangkul diambil,lalu dia terus berlari meredah kelam malam.Matanya sibuk mencari-cari pohon rambutan di situ.Segala perasaan takut hilang begitu sahaja,yang tinggal sekarang hanyalah keinginan yang membuak-buak untuk mencari semula ahli keluarganya.Haiza segera menggali tanah sejurus sahaja pohon rambutan yang dicari ditemui.Bajunya yang kotor tidak diendahkan.Dia berusaha menggali sehingga jumpa apa yang dicari.Tiba-tiba cangkul yang dia gunakan terkena sesuatu yang keras.Dia amati betul-betul apa yang dilihat.

TULANG MANUSIA !

*********

Seawal pukul 7 pagi,Vila Astakona Biru didatangi beberapa orang polis untuk menjalankan siasatan. Rangka manusia telah dijumpai tidak jauh dari situ. Penduduk sekitar gempar dengan berita yang mereka terima.Cepat sahaja tersebar,bagai ditiup angin ke segenap arah.Haiza dan rakannya yang lain berkumpul di ruang tamu untuk member i keterangan kepada pihak polis.

Setelah segala selesai.Barulah Haiza bercerita dengan lebih lanjut tentang perkara yang terjadi ke atas dirinya sepanjang malam itu kepada rakannya yang lain. Waktu itu juga,barulah dia tahu ke mana menghilangnya mereka di saat Haiza keseorangan. Pada malam itu Kaira bangun dari tidur untuk ke atas dan kemudian menyedari Haiza tiada.Puas mereka cari di serata sudut banglo itu,ntetapi tidak berjumpa.Malang juga nasib mereka kerana diganggu kelibat yang menakutkan,terbang melayang-layang dan mengilai-mengilai.Akibat teramat takut,mereka berempat keluar dari banglo itu dan menuju ke sebuah rumah berdekatan untuk tumpang tidur.

*******

Haiza memandang banglo itu dengan senyuman.Kedatangannya ke situ merungkai misteri mimpi yang sering bertamu dalam tidurnya.Dia langsung tidak menyangka yang dia pernah menghuni banglo itu sejak kecil. Dia jugalah yang membongkar rahsia tempat ahli keluarga nya ditanam.Haiza masuk ke dalam kereta untuk pulang semula ke Kuala Lumpur.Kereta pacuan empat roda itu menyusur keluar dari perkarangan vila itu.

‘Selamat tinggal Vila Astakona Biru’ , bisiknya perlahan.


---------------------------------------------------------------------------------------

noktah terakhir 11.25 malam/20 jun 2010

karya asal : nur hidayah hanafi.

terima kasih.

Tuesday, June 8, 2010

KUN FAYAKUN

Ibu pejabat Pentadbiran Angkasa dan Bencana Bumi Antarabangsa (PABA) yang berpangkalan di kota Madinah lebih sibuk dari hari-hari biasa. Para penganalisis cuaca dan bencana sibuk menganalisis data-data yang baru sahaja mereka peroleh.Serius dengan tugas masing-masing kerana hasil analisis itulah yang akan menentukan nasib planet biru yang manusia tumpangi selama ini.Di penjuru bilik operasi, kelihatan Nizamullah, ketua pengalisis cuaca dan bencana ,mengerutkan dahi , cemas sahaja riak wajahnya. Bagai ada sesuatu yang mengganggu fikiran.Nizamullah segera melangkah ke bilik Pengarah PABA yang terletak di tingkat tiga bangunan itu untuk memaklumkan berita yang baru sahaja diperoleh.

‘Assalamualaikum,Tuan Bariq Zafri’, ucap Nizamullah penuh hormat.

‘Waalaikumussalam.Ya Nizamullah? , balas Tuan Bariq Zafri dengan senyuman.

‘Maaf Tuan, saya ada berita yang mungkin tidak begitu enak untuk didengar.Tapi hal ini berkenaan
dengan nasib planet ini Tuan.Ais di kutub utara dan selatan mencair lebih pantas daripada sebelum ini.Kadar pencairan meningkat secara mendadak.Dan.. dan mengikut analisis yang kami jalankan sebentar tadi,mungkin hampir 80% daratan akan tenggelam dalam masa 30 tahun akan datang,’ bicara Nizamullah, riak cemas turut terpamer pada wajahnya.

‘ALLAH !’ , Tuan Bariq kaget.Tidak mampu berkata apa-apa.Hanya nama Allah terpacul dari mulutnya.Berita itu bagai halilintar yang mencalarkan langit lagaknya.Bagai hentak gugur jantung dari tempatnya.

*********

Raja Ahlan Qaid,pemimpin umat Islam juga pemimpin seluruh ummat manusia,yang kini berada di Istana Malazi di utara Makkah turut terkesan dengan warita itu setelah dikhabarkan oleh Tuan Bariq Zafri. Lafaz istigfar dan zikrullah terus membasahi bibir tatkala warita itu mengundang gundah di jiwa.Terasa kerdil diri di sisi Yang Esa .Betapa Allah itu Maha Kuasa menentukan segala.

Bumi ini sudah tua.Sangat tua. Sudah tidak mampu bertahan .Mungkin.Planet biru ini telah acapkali menjadi saksi kerakusan manusia meragut kesucian alam,merobek keindahan dunia sejak awal era millennium,atau mungkin sebelum itu lagi.Pokok-pokok yang selama ini menjadi tangki oksigen kepada hidupan bernyawa habis tumbang ke bumi.Bukit-bukit indah penyejuk mata habis ditarah,dan menggelungsur jualah tanah-tanah di bukit terus ke bawah.Partikel-partikel asing yang terus dilepaskan ke udarakasa meningkatkan kesan rumah hijau.Sinaran inframerah matahari yang menembusi lapisan atmosfera bumi tidak mampu terpantul sepenuhnya secara normal,lalu memberi kesan kepada peningkatan suhu sang planet ini.Kini,ummat manusia diancam bencana yang bakal terjadi.

Baginda duduk berteleku sejenak.Otak ligat berfikir,mencari-cari solusi yang bisa menyelesaikan masalah yang tiba-tiba muncul tanpa sebarang petanda.Memikirkan nasib umat manusia selepas ini,bagaimana mahu meneruskan nafas ini andai daratan habis tenggelam dilanda sang air ? DI mana tempat untuk mereka berpijak andai daratan tidak lagi kelihatan? Baginda merenung ke luar jendela,melihat ke arah taman yang indah. Memikirkan ujian yang diberikan oleh Allah kepada seluruh ummat manusia.Sangat berat .Hatinya merintih.Bagaimana harus baginda lakukan untuk membantu yang lain?Ais di kutub pantas mencair ,paras air laut pantas meningkat.Tidak lama lagi hampir keseluruhan daratan akan tenggelam.Di mana harus ditempatkan manusia seramai ini? Sesuai dengan namanya.Ahlan Qaid.Ahlan membawa maksud keselamatan.Qaid pula bermaksud pemimpin. Baginda merasakan ini adalah tanggungjawabnya untuk memberi perlindungan,menyelamatkan ummat manusia,di samping memanjatkan doa memohon pertolongan dari Yang Esa.

Maka,dijemput pemimpin-pemimpin kanan datang ke istana untuk membincangkan perkara ini.Turut hadir ialah pemimpin-pemimpin dari seluruh dunia yang tidak mengira agama dan bangsa. Masing-masing menyedari apakah yang akan berlaku pada dunia selepas ini.Mesyuarat diatur.

‘Tuanku,seeloknya kita segerakan mencari cara penyelesaian untuk hal ini.Kita tidak boleh berlengah lagi,’ kata Tuan Khair al Din,Menteri Kewangan.

‘Beta sudah memikirkan tentang perkara ini sekian lama,tetapi menemui jalan buntu.Ada sesiapa yang punya cadangan?’,

Jeneral Naufal Bazli,ketua angkatan tentera Makkah bangun memberi cadangan.

‘Maaf tuanku.Saya fikir ada baiknya jika kita bina kapal-kapal yang besar seperti Nabi Nuh yang membina bahtera untuk menyelamatkan diri dari banjir besar. Keadaan yang bakal kita hadapi nanti seakan-akan sama dengan apa yang menimpa ummat manusia pada zaman Nabi Nuh.Tapi tuanku.. ,’

‘Tapi apa wahai Jeneral?’, pantas sahaja Raja Qaid Ahlan memintas percakapan Jeneral Naufal.

‘Tapi sekiranya cadangan ini diterima, kita memerlukan modal yang banyak.Kita perlu membina kapal-kapal yang banyak, untuk menampung ramai manusia.Mungkin usaha ini agak sukar dilakukan,tetapi ini sahaja yang mampu saya fikirkan.Memandangkan nanti bumi ini hanya air yang menguasai’, Jeneral Naufal menyusun kata.

‘Begini,tentang modal,jangan dirisaukan.Pada hemat saya,eloklah kiranya setiap negara menyumbangkan modal untuk kita laksanakan usaha ini. Jika kita semua bekerjasama,InsyAllah kita mampu untuk membina kapal-kapal tersebut,Allah pasti permudahkan’, cadang Ahmad Lutfan,wakil negara-negara di wilayah selatan .

Sidang mesyuarat diam sejenak.Masing-masing berfikir mengenai cadangan yang diutarakan.Mereka teruskan perbincangan dengan mengambil kira buruk baik cadangan itu.Akhirnya,kata sepakat diambil.Mereka bersetuju.

*******

Kerja-kerja membina kapal masih diteruskan.Kini separuh daripada perancangan asal telah siap dilaksanakan.Tenaga kerja yang ramai didatangkan dari seluruh dunia tanpa mengira agama,bangsa dan kepercayaan.Seluruh ummat manusia telah maklum mengenai perkara ini.Pada mulanya,ramai yang tidak dapat menerima hakikat ini.Manakan tidak,dunia ini seakan-akan bakal menjadi planet air,bukan lagi planet yang paling indah dalam rangkaian planet di setiap pelusuk jumantara,malahan dunia ini juga seolah-olah bakal menghampiri saat-saat terakhirnya.Pabila berita ini heboh diperkatakan di seluruh dunia,ramai yang mula sedar dengan kekhilafan diri terhadap Tuhan.

5 tahun telah berlalu.Pembinaan kapal masih lagi diteruskan.Para pekerja bersungguh-sungguh menyiapkan kapal,para jurutera juga sibuk meneliti setiap inci badan kapal.Tapak pembinaan di sepanjang pesisir pantai Mesir itu juga tidak putus-putus dikunjungi oleh wakil negara- negara lain untuk melihat perkembangan pembinaan tersebut.Tidak ketinggalan,Raja Ahlan Qaid.Raja Ahlan Qaid.Baginda yang kini berada di bilik operasi projek pembinaan kapal itu merenung ke luar jendela,memerhati betapa gigihnya para pekerja mengerah keringat untuk melaksanakan misi ini.

‘Tok,tok,tok’,kedengaran pintu bilik diketuk.

Pintu dibuka,menampakkan kelibat Jeneral Naufal Bazli.Salam diberi.

‘Assalamualaikum,tuanku Raja Ahlan,’

‘Waalaikumussalam,ya Jeneral Naufal,’ balas Raja Ahlan Qaid dengan senyuman terukir di bibir.Wajahnya tenang .Sejurus selepas itu,terus kakinya melangkah ke sebuah kerusi empuk di tepi jendela.

‘Tuanku pasti sudah meninjau pembinaan kapal-kapal tersebut.Adakah tuanku berpuas hati? ,’ soal Jeneral Naufal .

‘Alhamdulilah.Nampaknya semua seperti apa yang dirancang.Beta kagum melihat kegigihan para pekerja yang terlibat.Dan ini mengingatkan beta tentang kesungguhan Nabi Nuh membina bahtera untuk menyelamatkan diri dari banjir besar dahulu,’ Raja Ahlan menutur kata.Pandangannya dilepaskan pada sisi jendela sambil mengusap-ngusap dagu yang licin tak berjanggut.

Petang itu,Jeneral Naufal dan seorang pembantu pergi meninjau tapak pembinaan kapal.Dia yang diamanahkan untuk menyelia projek itu memeriksa beberapa kapal yang telah siap.Setiap inci diperiksa supaya kapal yang dibuat tiada cacat cela.Itu adalah tugasnya.Jeneral Naufal juga sedia maklum bahawa dialah yang akan menjadi ketua kepada kapal-kapal yang akan belayar nanti,mengetuai pelayaran ummat manusia di lautan luas.Projek pembinaan kapal ini mengambil masa yang agak lama.10 tahun mungkin.Kini projek ini baru separuh selesai dilaksanakan.

Jeneral Naufal kembali ke bilik operasi.Dia berdiri di koridor.Pandangan mata dialih pada laut yang terbentang luas,tenang sahaja ombaknya.Dari jauh kelihatan sang suria makin tenggelam di ufuk barat,kaki langit diwarnai dengan warna merah.Indah benar ciptaan Tuhan.Dia melihat udarakasa sambil lidah tidak lekang menyebut lafaz zikrullah,memuji Tuhan.Angin berpuput dan menampar lembut pipinya.Perasaan tenang menyelinap dalam jiwa . Membalut keresahan di hati.

‘Jeneral Naufal !’, jeritan Dhaifullah sedikit menggangu ketenangannya.

‘Ya Dhaifullah.Mengapa kamu ni? Ada sesuatu buruk yang berlaku?’,

‘Maaf Jeneral.Tapi saya ada berita perlu dikhabarkan pada Tuan Jeneral.Ibu pejabat PABA baru sahaja menghantar berita pada kita.Katanya keadaan sudah semakin buruk.Bongkah ais berpecah.Kadar pencairan ais di kutub utara tiba-tiba sahaja meningkat.Perkara ini juga telah dikhabarkan pada Raja Ahlan Qaid.’ jelas Dhaifullah dengan termengah-mengah

‘Benar? Jadi daratan akan tenggelam dalam masa terdekat.Itu maksud kamu?’

‘Ya Jeneral.Nampaknya kita tidak punya banyak masa.Projek ini perlu disiapkan segera.Jikalau siap pun,sudah banyak kawasan darat yang akan tenggelam.Kematian akan berlaku’,
Jeneral Naufal diam sejenak.Jantungnya berdegup pantas tatkala berita itu singgah di telinganya.

‘Arahkan semua pekerja untuk menggandakan usaha menyiapkan kapal.Saya mahu projek ini disiapkan segera’, katanya tegas.

*******

Paras air laut pantas meningkat.Sudah banyak kawasan daratan yang ditenggelami.Ramai jualah yang terkorban.Projek pembinaan kapal diteruskan,disertai dengan doa yang dipanjatkan ke hadrat Ilahi agar projek ini siap dengan segera untuk mengelakkan kehilangan nyawa yang ramai.

Akhirnya,masa yang ditunggu tiba.Seluruh ummat manusia dibawa naik ke kapal-kapal yang dibina.Ibarat mengimbau peristiwa Nabi Nuh membawa umatnya menaiki bahtera.Begitulah keadaan mereka.Saat itu,hampir keseluruhan daratan tenggelam.Mereka tidak punya banyak masa,sedikit terlengah,hanyut jualah mereka dibawa arus.

Namun Allah itu Maha Kuasa.Walaupun hampir keseluruhan daratan tenggelam,Tanah Haram Makkah dan Madinah terpelihara daripada bencana yang mendatang.Memang tidak mudah diterima akal,tetapi itu yang berlaku.

Pelayaran bermula,dengan Jeneral Naufal menjadi ketua.Bermulah perjalanan kapal-kapal tersebut entah ke mana hala tuju.Berada di tengah-tengah lautan yang luas.Hanya lautan.Ya.Hanya lautan.Jeneral Naufal menyeru seluruh manusia yang menaiki kapaL-kapal tersebut agar tidak putus harapan,berdoalah pada yang ESA.Mereka terus berdoa agar keajaiban berlaku walaupun perkara itu agak mustahil untuk berlaku.Tapi apakan daya.Itu sahaja yang mampu dilakukan.

Usai solat Subuh di atas kapal secara berjemaah, Jeneral Naufal mengatur langkah ke dek kapal.Merenung laut yang luas terbentang. ‘Ini sudah ketentuan Tuhan.Ini ujian dariNYA.’ Bisiknya dalam hati.Namun jauh di lubuk hatinya mengharapkan bantuan dari Allah.Tiba-tiba dirasakan kapal yang dinaikinya teroleng-oleng.Bagaikan ada berlaku sesuatu dari dalam laut.

Laut yang tadinya tenang, tiba-tiba berombak ganas.Semua yang berada di kapal masing-masing cemas. ‘Ujian apakah lagi yang KAU mahu berikan pada kami?Berilah kami kekuatan,’ doa Jeneral Naufal dalam hati.Ombak makin ganas,memaksa krew-krew kapal untuk bertindak segera supaya kapal tidak terbalik diserang ombak.Bagai bertarung dengan antaboga gergasi yang keluar dari perut bumi lagaknya.

Disebalik ombak yang mengganas,ada sesuatu yang menunggu mereka. Ya. Mereka diperlihatkan dengan kekuasaan Allah yang tiada tandingnya.Mata mereka seakan-akan tidak mempercayai apa yang dilihat.Masing-masing terpaku,takjub dengan apa yang berlaku.Subhanallah.Jauh di hadapan mereka,muncul kawasan daratan yang sangat luas dari permukaaan laut.Perlahan-lahan keluar dari laut yang bergelombang.Sangat luas hingga tidak terjangkau dek penglihatan mereka.Memang tidak dapat diterima akal apa yang dilhat,tetapi sekiranya itu yang dikehendaki olehNYA ,itulah yang akan berlaku.KUN FAYAA KUN.

Jeneral Naufal tersenyum.Sinar harapan terpancar.Mungkin inilah permulaan kepada sesuatu yang baru. ALLAHUAKBAR !

.......................................................................................................

bukan tiru dan tampal ,karya sendiri
Terima kasih